Suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke rumah anaknya.
Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata.
Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.
Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu."
Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu
ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan
segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak
keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu
untukku?"
Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu.
Dengan lafaz bismillah, Rasulullah SAW meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu.
Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya.
Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu.
Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti
selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah SAW
menghentikannya.
Berkata Rasulullah SAW dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah,
Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun
ayahanda memilih kesenangan di akhirat untuk keluarga kita."
Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.
Ayahanda yang penyayang itu terus merenung puterinya dengan pandangan
kasih sayang lalu berkata, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu
yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?"
"Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan.
Rasulullah SAW bersabda :
"Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai
sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, Alhamdulillah'
sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak
tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini
sebanyak tiga puluh tiga kali."
Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah RA. Semua
kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa
pembantu rumah.
Itulah hadiah istimewa dari Allah SWT buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingati-Nya.
- Artikel
iluvislam.com